Tahun Baharu Cina merupakan perayaan terpenting bagi kaum Cina dalam menyambut kedatangan tahun baharu mengikut kalendar qamari Cina.
Untuk pengetahuan semua, kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. Tahun Baru Cina ini dianggap sebagai titik permulaan dan penentuan nasib dalam menjalani kehidupan mendatang.
Setelah tidak dapat disambut tahun lalu berikutan pandemik COVID-19, baru-baru ini Kunkwan International Mandarin Training Centre, Kuala Lumpur menggunakan kesempatan ini untuk memeriahkan suasana perayaan dengan mengadakan acara tahunan Tahun Baru Cina .
Meskipun disambut secara meriah, acara ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan virus COVID-19.
Acara berprestij ini telah dirasmikan oleh tetamu terhormat, Datuk Nicole Wong yang merupakan Ketua Pemuda Kebangsaan MCA wanita pertama.
Berkongsi mengenai sambutan Tahun Baharu Cina, Nicole Wong berkata, sambutan ini melambangkan perpaduan pelbagai kaum yang ada di Malaysia.
“Bagi saya, ia selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang sering ditegaskan oleh para pemimpin negara.
“Justeru itu, saya berharap sambutan tahun ini akan membawa kesejahteraan kepada semua rakyat Malaysia serta merapatkan lagi hubungan antara satu sama lain,” katanya.
Sambutan ini turut disertai penyanyi Layla Sania dan Erin Adlina Adnan (Youngest Award-winning Group Agency Manager) sebagai artis jemputan dan tetamu istimewa.
Terdapat pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan bersama para tetamu termasuk Calligraphy Art, Chinese Paper Cutting, Wishing Tree dan Yoohoo Dance. Aktiviti-aktiviti tersebut membolehkan tetamu yang hadir merasai sendiri pengalaman unik bermain aktiviti kebudayaan masyarakat Cina secara langsung.
Objektif utama acara ini diadakan adalah untuk memastikan semua yang hadir dapat mempelajari sesuatu yang baharu daripada budaya Cina, memupuk hubungan silaturrahim antara satu sama lain serta menghayati nilai perpaduan.
Apa yang menarik, Kunkwan telah menerima anugerah Malaysia Book Of Record atas kejayaan penyertaan pelajar terbesar kursus pembelajaran Bahasa Mandarin dalam setahun.
Keseluruhan idea sambutan ini dilaksanakan dengan baik kerana objektifnya bukan sahaja untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara rakyat Malaysia malah agar lebih terbuka untuk bergaul dengan kaum lain.
Semoga lebih banyak program seperti ini dapat diadakan untuk memupuk keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan mengajak ramai orang mempelajari bahasa dan budaya dengan cara yang lebih menarik. – Getaran, 24 Februari 2022
* Source: Getaran