KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) — Sebanyak 11 finalis bakal berentap di pentas akhir Suara Semua Carnival 2025 (SSC 2025), edisi kesembilan pertandingan itu di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), pada 19 Okt ini.
Pertandingan berkenaan meraikan suara daripada pelbagai kaum, bangsa, agama, negara dan latar belakang sebagai simbol keterangkuman, keharmonian serta semangat perpaduan dalam kepelbagaian yang selari dengan nilai ASEAN.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kunkwan International Mandarin Training Centre Kent Ng Kun Kwan berkata pertandingan itu diwujudkan bagi menyediakan platform kepada belia dan masyarakat umum untuk berkongsi bakat, suara dan budaya.
Beliau berkata acara itu juga diilhamkan daripada keyakinan bahawa muzik mampu merapatkan perbezaan dan mengurangkan salah faham dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa serta budaya.
“Muzik adalah bahasa sejagat yang mudah difahami, melodi boleh masuk ke hati walaupun kita tidak faham bahasa. Dulu fokus kami ialah keharmonian dalam negara, kini kami mahu mengangkatnya ke peringkat serantau bersempena ASEAN 2025,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ng berkata sebanyak 60 peserta menyertai uji bakat sejak empat bulan lepas sebelum 30 orang dipilih ke peringkat separuh akhir, seterusnya 11 mara ke peringkat akhir.
Beliau berkata finalis terdiri daripada pelajar universiti dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan Iran itu diwajibkan menyanyikan sebuah lagu dari negara ASEAN lain yang bukan bahasa ibunda mereka.
“Contohnya peserta Indonesia mungkin menyanyi lagu Filipina, manakala peserta Malaysia menyanyikan lagu Thailand. Inilah semangat pertukaran budaya yang kami tonjolkan,” katanya.
Sementara itu, penyanyi Mark Adam yang dilantik sebagai ketua juri berkata beliau akan dibantu sembilan juri profesional termasuk daripada wakil kelab muzik universiti.
“Bagi memastikan ketepatan sebutan dan penghayatan, peserta turut dibimbing jurulatih vokal selain lagu yang dipilih ditapis terlebih dahulu oleh pihak penganjur,” katanya.
Wang tunai RM3,888 menanti juara SSC 2025 manakala naib juara menerima RM2,500 dan tempat ketiga pula sebanyak RM1,000 selain hadiah sagu hati untuk peserta lain.
Masuk adalah percuma dan orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan pertandingan akhir itu bermula 9 pagi dengan pendaftaran boleh dibuat menerusi https://www.tickettailor.com/events/kunkwan/1814445.
* Source: Bernama Lifestyle